Kecoh apabila pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) mengambil tindakan drastik dengan memotong gaji peminjam tanpa rela. Dengar cerita terdapat kes baki gaji peminjam tinggal RM19 sahaja selepas dipotong oleh PTPTN. Aku perhatikan fokus PTPTN adalah terhadap peminjam Penjawat Awam sahaja. Setakat hari ini, belum lagi jumpa kes pekerja swasta yang dipotong gaji oleh PTPTN.
Prosedur Potongan Gaji
Secara peribadi, aku pernah mengajukan soalan kepada seorang Pegawai PTPTN berkenaan bagaimana prosedur potong-memotong gaji ini. Penjawat Awam telah dimaklumkan melalui email pekerja bahawa bermula Januari 2016, pelaksanaan potongan gaji mandatori akan dilaksanakan terhadap peminjam. Pendek kata, Penjawat Awam yang meminjam PTPTN akan dikenakan potongan gaji secara automatik setiap bulan.
Sebelum potongan di buat, pihak PTPTN akan menghubungi peminjam untuk berbincang mengenai kadar potongan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu peminjam dan pihak PTPTN. Namun, PTPTN telah menetapkan kadar minimum yang akan dipotong.
Tempoh Mula Bayar Balik Pinjaman
Terdapat kekeliruan tempoh mula bayar balik pinjaman ini. Menurut PTPTN, tempoh mula adalah 6 bulan selepas tamat belajar iaitu di bulan ke-7 selepas tamat belajar.
Namun, terdapat juga kes peminjam diwajibkan membayar sebulan selepas tamat belajar. Maksudnya, kau tamat belajar atau habis peperiksaan akhir bulan 5, bulan 6 kau sudah wajib bayar PTPTN. Walaupun kau konvo, pakai jubah, naik pentas ambil skrol kosong bulan 10, tarikh diwajibkan bayar PTPTN tetap sebulan selepas kau tamat belajar, bukan sebulan selepas kau konvo.
Maka, bila kau menganggur. Memang sah-sahlah kau tak mampu bayar balik PTPTN. Andai kata kau diwajibkan bayar sebulan selepas tamat belajar. Maka, banyaklah bayaran tertunggak. Seterusnya makin tinggilah potensi nama kau untuk disenarai hitamkan.
Kempen Menyelesaikan Tunggakan Bayaran Balik
Selain menjalankan kempen potongan gaji mandatori setiap bulan, pihak PTPTN turut menggalakkan peminjam menyelesaikan bayaran tertunggak melalui dua cara.
Pertama, bayar dari sumber kewangan sendiri, tak kiralah dari mana datangnya duit tersebut. Gadai rumah ataupun tanah bapa kau.
Kedua, potongan melalui Akaun 2 KWSP peminjam. Tetapi kalau peminjam masih tidak bekerja, mana nak datang KWSP-nya?
Persoalannya
Adakah benar, pihak PTPTN mengguna pakai prosedur potongan gaji yang aku canangkan di atas. Jika benar, mengapa timbul isu gaji dipotong sehingga baki tinggal RM19.
Persoalan kedua, bilakah tempoh sebenar peminjam perlu membayar balik pinjaman? Adakah wajar peminjam wajib membayar pinjaman 6 bulan atau sebulan selepas tamat belajar? Atas dasar apa polisi ini dibuat?
Seterusnya, bagaimana status graduan yang masih tidak mempunyai pekerjaan 2 dan 3 tahun selepas tamat belajar, adakah turut digesa untuk membayar pinjaman? Jika begitu, memang jelas graduan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman dan akan disenarai hitamkan kerana terdapat tunggakan melebihi 6 bulan.
Kesimpulan
Peminjam PTPTN ni kebanyakkannya dari golongan keluarga yang berpendapatan sederhana. Jadi, lebih wajar pihak PTPTN menetapkan peminjam yang bekerja dan mencapai tahap gaji pokok tertentu sahaja yang digesa untuk membuat bayaran balik.
Beri peluang kepada para graduan untuk memulakan hidup selepas tamat belajar. Lainlah kalau peminjam dari kalangan keluarga kaya-raya. Untuk golongan tersebut, paksalah macam manapun supaya beliau bayar balik. Tak kan kerajaan tak boleh kesan peminjam dari keluarga sederhana atau kaya? Tetapikan, jarang keluarga kaya pinjam PTPTN. Selain kabel kuat untuk dapat biasiswa, bapa beliau mesti mampu biaya kos pengajian sehingga keluar negara.
No comments:
Post a Comment
Kalau berani, kau komen.