Friday, 8 April 2016

Rezeki Si Penjual Tisu

Kau biasa tak kalau lepak di kedai makan, ada seorang buta ditemani seorang yang sihat (pada zahirnya) membawa tisu dari meja ke meja pelanggan.

Kau rasa mereka adalah golongan susah yang meminta sumbangan ikhlas atau hanyalah penjual tisu?

Di awal-awal pertemuan aku dengan golongan tersebut, aku dengan rasa simpati menganggap mereka sebagai golongan yang susah. Habis kuat aku akan sedekah RM1 dan akan menerima sebungkus tisu yang kadang-kadang aku menolaknya kerana tiada keperluan.

Namun semenjak berleluasa kegiatan tersebut, mind set aku mula berubah, aku mula menganggap mereka sebagai seorang penjual tisu. Jadi jika aku ada keperluan untuk menggunakan tisu, aku bersedia untuk membayar RM1 bagi sebungkus tisu tersebut. Jika tidak, hanya ucapan terima kasih dan senyuman yang diterima mereka.

Semuanya selepas aku memerhati tingkah laku segelintir mereka.

Jika benar salah seorang daripada mereka seorang yang kurang upaya seperti buta dan cacat anggota badan, bukankah mereka mendapat sekurang-kurangnya RM300 bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Malah, peneman mereka juga kelihatan sihat tubuh badan untuk sekurang-kurangnya bekerja 8 jam sehari bagi mendapatkan sekurang-kurangnya RM1000 sebulan. Itu baru seorang peneman yang sihat. Jika di rumah ada beberapa orang lagi anak beranak yang sihat tubuh badan dan mampu bekerja, wang tambahan mampu diperolehi.

Satu malam, selesai menjamu selera di kedai makan, aku pernah terserempak dengan golongan ini menaiki teksi sebagai kenderaan mereka. Jadi, aku yakin mereka berkemampuan untuk menguruskan kehidupan. Aku sendiri berkira-kira nak membayar tambang teksi.

Jika dibuat pengiraan, satu jam mereka mampu berjalan ke 10 buah kedai yang masing-masing mempunyai 20 orang pelanggan. Dengan mudah mereka akan memperolehi RM200 sejam. Jika mereka mampu berjalan 5 jam sehari, mereka mampu memperoleh RM1000 sehari. Ditolak dengan kos modal iaitu kenderaan dan tisu. Dianggarkan sehari mereka mampu memperolehi sekurang-kurangnya RM500 hingga RM800 sehari. Lebih mahal daripada gaji kau yang kerja tungang terbalik 8 jam sehari.

Ditambah lagi, cerita-cerita orang yang mengatakan mereka terlibat dengan sindiket mengemis. Maksudnya ada seseorang yang mempergunakan mereka untuk mengemis menagih simpati orang ramai. Dikatakan juga, mereka bukanlah penduduk warganegara Malaysia dan bukanlah beragama Islam walaupun pada zahirnya mereka berkopiah atau bertudung. Selain itu, isu sikap segelintir peminta ini yang menarik muka jika memperoleh sumbangan yang kecil atau tidak memperolehi apa-apa hasil daripada pelanggan mereka.

Kalau kau cakap aku kedekut, RM1 pun berkira. Ya, memang aku kedekut. Aku lebih rela sumbangkan hasil titik peluh aku ke jalan yang lebih dipercayai. Seperti tabung yang banyak terdapat di masjid atau surau. Dekat masjid bukan sahaja ada tabung sumbangan pengurusan masjid, malah ada juga disedia sumbangan untuk pusat tahfiz, anak yatim dan lain-lain.

Kalau kau jarang pergi masjid tetapi selalu ke Sogo, pasar malam atau Uptown/Downtown mesti kau akan terserampak dengan orang kurang upaya yang menghiburkan orang dengan menyanyi atau bermain muzik. Ada baiknya kau hulurkan sumbangan kepada mereka andaikata kau terhibur dengan persembahan tersebut.

Apa-apa pun, duit kau. Kau lebih tahu macam mana nak menguruskannya.

No comments:

Post a Comment

Kalau berani, kau komen.