Setiap benua, negara, daerah, agama, kaum, sekolah, syarikat waimah sekecil-kecil komuniti yang terbentuk mempunyai budaya dan cara menjalani kehidupan mereka sendiri. Pembentukan budaya tersebut mungkin hasil daripada adaptasi, evolusi ataupun cara hidup asli sesebuah komuniti.
Sebagai contoh mudah, budaya Melayu Malaysia berbeza dengan India Malaysia. Memang sudah terang lagi bersuluh perbezaan tersebut kerana budaya Melayu dipengaruhi oleh Islam manakala, India dipengaruhi Hindu. Tetapi kau mungkin tidak tahu bahawa budaya India Malaysia mungkin ada beza dengan budaya India yang asli dari negara India sana tu.
Malah budaya kerja di pejabat Petronas mungkin berbeza dengan pejabat Shell walaupun dalam industri yang sama. Lebih mikro lagi, budaya hidup keluarga aku mungkin berbeza dengan budaya hidup keluarga kau. Kalau mak aku nasihat sambil bantai dengan penyapu, mungkin mak kau nasihat dahulu baru bantai.
Adaptasi budaya hasil daripada budaya lain disesuaikan dengan cara hidup tempatan. Contohnya, Melayu Islam mengguna pakai ajaran Islam dan disesuaikan dengan cara hidup Melayu. Evolusi berlaku hasil daripada peredaran zaman. Contohnya, rakyat Melayu marhaen era globalisasi kini sudah tidak memakai tengkolok di kepala seperti di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Maka setiap komuniti mempunyai budaya, cara hidup atau cara kerja mereka sendiri. Mereka mempraktikkan apa yang mereka percaya dan mampu dilaksanakan. Budaya kau dengan budaya aku mungkin berbeza kerana kita hidup dalam acuan kita sendiri.
No comments:
Post a Comment
Kalau berani, kau komen.