Saturday, 20 February 2016

UiTM FC dan Potensinya

Cuti separuh hari sesi petang sudah diluluskan. Selesai solat Jumaat, kuda merah yang ditunggang terus mencelah hujan sepanjang perjalanan ke Shah Alam. Selagi spender belum menyerap air, perjalanan masih boleh diteruskan.

Pertama kali ke kampus UiTM, pertolongan rakan dengan kerakyatan Terengganu ditagih untuk menemani menempuh Pak Guard UiTM. Orang kata, denga Pak Guard UiTM jangan dibuat main.

Tiket terbuka tanpa bumbung berharga RM15 diperolehi. Pak Guard UiTM berjaya ditempuhi. Hujan masih turun-turun manja membasahi stadium. Kehadiran yang sedikit lewat memaksa kami berdiri di bahagian paling atas astaka.

Mario Gomez seperti tidak mengambil mudah dengan kemampuan pihak lawan apabila menurunkan back four terbaik; Marcos, Aidil, Kunanlan dan Fazly. Reputasi pihak lawan yang menang kedua-dua perlawanan awal Liga Perdana dan status penjaga gol mereka yang merupakan ahli skuad kebangsaan Kyrgyzstan sememangnya perlu diambil perhatian.

Rasa macam baru je berdiri, penyokong pun masih sibuk memanjat tangga astaka mencari tempat duduk. Amri dah buat semua penyokong JDT bersorak dengan jaringan pertama.

Seorang dua yang baru sampai bertanya aku jumlah jaringan semasa. Baru aku perasan scoreboard takde. Cis, tiket mahal! Tetapi score board pun tak mampu letak.

Tidak lama selepas itu, Chanturu menambah jaringan. Minit ke berapa aku tak pasti. Hujan mula turun semula. Nampak macam tak nak berhenti. Nak cari tempat berteduh pun tak guna, sebab memang takde. Maka, pasrahlah basah lencun sampai ke spender.

Sekali lagi Chanturu menjaringkan gol. Kedudukan semasa 3-0.

UiTM membuat pertukaran pertama membawa masuk pemain berjersi nombor 36. Menariknya, sentuhan pertama beliau telah menghasilkan kad kuning pertama perlawanan apabila mengasari pemain JDT. Penyokong mula bersorak nakal kepada beliau. Mungkin student universiti yang tidak mampu mengawal mentalnya. Beliau bertindak meludah ke arah penyokong JDT ketika ingin mengambil sepakan sudut. Walaupun ludahan tersebut tidak dituju betul-betul ke arah penyokong, namun jelas yang ianya disengajakan.

Saat akhir separuh masa pertama, Yol berjaya menyudahkan lorongan Amri dan menjaringkan gol keempat. UiTM tidak berdaya mengekang asakan juara bertahan Piala AFC.

Perbualan bersama rakan peneman aku banyak berkisar tentang potensi skuad UiTM. Dengan kewujudan 36 kampus di seluruh Malaysia, UiTM mampu menghasilkan pool of talents yang lebih besar. Beberapa skuad simpanan boleh diwujudkan bagi mengharungi liga-liga seperti Liga IPT dan kejohanan bola sepak UiTM sendiri. Hanya pemain terbaik sahaja yang akan membarisi skuad utama yang bermain di Liga Malaysia. Malah, tahap pendidikan mereka juga tidak perlu diragui apabila mereka sudah tentu sekurang-kurangnya mempunyai sijil diploma. Melainkan, pemain sendiri mengabaikan pelajaran mereka. Dari segi sokongan penyokong pula dilihat tiada masalah apabila ultras UiTM pun mampu diwujudkan dan disertai juga oleh golongan hawa. Benarlah kata orang, gadis-gadis UiTM ni not bad juga.

Babak kedua bersambung. Rata-rata penyokong JDT simpati dengan keadaan UiTM yang dimalukan ditempat sendiri. BOS mula mendendangkan chant ‘pergi belajar’ yang dituju kepada pemain UiTM yang dilihat bergelut untuk sekurang-kurangnya memegang bola.

Kemasukkan Diaz menggantikan Safee berjaya menambah jaringan kelima JDT dan dijaringkan sendiri oleh Diaz.

Tepat jam 6 petang, aku mengambil langkah berat meninggalkan stadium walaupun perlawanan masih belum tamat. Kewajipan solat Asar masih belum ditunaikan.

Ketika berada di perkarangan stadium, terdengar dua kali sorakan padu daripada penonton di dalam stadium. Sesuatu yang menarik mungkin berlaku. Mujur ada video highlight, rupanya sorakan pertama JDT dihadiahkan sepakan penalti. Sorakan kedua, Lucero gagal menyudahkan peluang menjaringkan gol pertama bersama JDT melalui sepakan penalti tersebut.

Saat menghidupkan enjin kuda merah. Pengumuman 2 minit masa tambahan dibuat. Legalah hati apabila mendapat tahu yang aku pulang di saat-saat akhir perlawanan. Kiranya, berbaloilah pengorbanan aku membayar tiket berharga RM15.

Piala FA Superbest Power 2016, Pusingan Ke-2
Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor
19 Februari 2016

UiTM FC [0] – [5] JDT

No comments:

Post a Comment

Kalau berani, kau komen.